NAJIB bersama Rais dan Menter Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN selepas perasmian TELMIN ASEAN Ke-10 di ibu negara, semalam. |
Najib gesa ASEAN wujud pelan bersepadu lindungi rakyat ancaman ICT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa ASEAN mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan keupayaan menangani ancaman dan jenayah siber yang semakin canggih sehingga menimbulkan risiko besar kepada negara dan kerajaan.
Dalam kesungguhan membangunkan ekonomi, Perdana Menteri berkata, cabaran baru dibawa kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tidak harus dilupakan kerana ancamannya boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dibaiki terhadap ekonomi dan negara.
Berikutan itu, beliau menggesa Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN yang berlangsung di sini, untuk membangunkan satu pelan bersepadu dan komprehensif bagi membolehkan kerjasama melindungi rakyat daripada elemen negatif dalam alam siber.
“Pada masa sama, kita juga mesti melihat etika penggunaan internet. Perlakuan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dalam dunia tanpa sempadan internet mesti dikawal. Orang ramai dan generasi masa depan kita perlu dididik menggunakan ICT secara selamat dan bertanggungjawab.
“Kita sudah menyaksikan bagaimana ada kala kemajuan pesat ICT memberi kesan negatif. Dalam soal ini, nilai serta budaya ketimuran boleh memainkan peranan. Saya percaya dalam meraih pembangunan ICT, amat penting untuk kita tidak melupakan asal usul budaya dan nilai kita.
“Budaya dan warisan menjadikan kita unik. Oleh itu, adalah penting untuk mendidik masyarakat supaya jangan mengabaikan apa yang menjadikan mereka sebagai rakyat Asia yang unik, meskipun menghadapi kemodenan dan globalisasi. Kita tidak harus sesekali berkompromi dengan nilai kita atas nama pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian TELMIN ASEAN Ke-10 di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Najib turut menekankan pentingnya ASEAN berada dalam arus pembangunan ICT global, namun kesaling hubungan (connectivity) sesama negara berdepan cabaran berikutan penyediaan rangkaian jalur lebar yang moden memerlukan pelaburan besar.
Di samping itu, beliau berkata, sebahagian besar kesaling hubungan itu disalurkan ke Amerika Syarikat dan Eropah terlebih dulu sebelum sampai ke negara ASEAN.
“Bagi mengatasi ini, saya mencadangkan TELMIN menimbang untuk menumpukan sumber bagi menambah baik kesaling hubungan antara negara ASEAN demi mengurangkan kos penyediaan prasarana jalur lebar di ASEAN.
“Sekiranya ini dapat dilakukan, kesaling hubungan sesama ASEAN akan banyak meningkat, begitu juga peluang mengembangkan khidmat dan produk ASEAN,” katanya.
Najib berkata, ASEAN juga tidak boleh ketinggalan dalam pembangunan ICT sekiranya mahu muncul rantau paling menarik untuk perniagaan dan perdagangan, malah jika ini adalah Abad Asia, ASEAN mesti menjadi saluran utama bagi perdagangan serta pelaburan di benua itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kadar penembusan jalur lebar di Malaysia kini sudah mencecah 55.6 peratus, sekali gus melepasi sasaran asal 50 peratus menjelang akhir tahun lalu.
p/s: sepatutnya dari dulu dah buat...sekarang ni kalau nak buat ibarat mencuci kulat ditempat lembab
Suka Tengok Bila Korang Komen!~